Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Hutan tanpa tanah

View previous topic View next topic Go down

Hutan tanpa tanah

Post by Park Deen on Sun Sep 02, 2012 4:32 am

Hutan tanpa tanah (KOSMO)









MENAKJUBKAN. Itu ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keunikan dan kekayaan alam di Taman Negara Bako, Sarawak.

Terletak 37 kilometer dari bandar raya Kuching, hutan ini diwartakan
sebagai taman negara pada tahun 1957 iaitu tahun yang sama negara
mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.

Jaraknya yang tidak terlalu jauh dari pusat bandar raya menjadikannya
lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Setiap tahun,
dianggarkan antara 40,000 hingga 45,000 pelancong melawat taman negara
ini.

Bagi penulis pula, ini merupakan kali kedua berkunjung ke situ.
Kesempatan yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelajah bahagian
yang belum diterokai lagi.

Babi hutan

Ditemani jurufoto, Fairuz Izyana Ayub dan pemandu pelancong yang
mesra dengan panggilan Lenjoe, kami bergerak dari Kuching menuju ke
Taman Negara Bako seawal pukul 7 pagi selepas masing-masing mengalas
perut dengan mi sapi dan air teh cina, juadah sarapan yang menjadi
kemestian di Bumi Kenyalang.

Sebaik sahaja sampai di Jeti Taman Negara Bako di Kampung Bako,
kelihatan sudah ramai pelancong yang sedang beratur untuk menaiki bot.

Menurut Lenjoe, perjalanan menaiki bot mengambil masa lebih kurang 20 minit.

"Nampak tak papan tanda amaran buaya itu?

"Di sungai ini memang banyak buaya, tetapi jangan risau, ia tidak
mengganggu bot. Kalau bernasib baik, kita boleh lihat buaya berjemur di
tebing sungai nanti," ujar Lenjoe, lelaki berketurunan Bidayuh ini.

Beberapa minit selepas bot meninggalkan jeti, muara sungai semakin
lama semakin melebar. Air sungai yang keruh mula ditinggalkan.
Begitupun, pemandangan yang sama masih kelihatan, iaitu rimbuan pokok
bakau dengan akar berceracak yang menjadi pemegang tebing di kiri dan
kanan sungai.

Jelas Lenjoe, istilah Bako yang menjadi identiti kawasan tersebut turut berasal daripada pokok bakau yang ada di kawasan itu.

"Orang Sarawak menyebut bakau sebagai 'bako'. Semasa penempatan
pinggir laut ini mula dibuka ratusan tahun dahulu, pokok bakau memang
banyak ditemui di sini," ujarnya.

Selain pokok bakau, pandangan mata pastinya tidak lari daripada
melihat pancang-pancang kayu yang ditanam sama ada hampir dengan tebing
sungai mahupun di tengah-tengah muara yang semakin melebar.

"Itu kawasan memukat udang. Setiap pancangan kayu itu ada tuannya
sendiri. Kalau nak tahu, selain belacan Bintulu, belacan Bako juga
terkenal di Sarawak," ujar Lenjoe yang merupakan penggemar belacan Bako.



FORMASI bukit batu yang menarik ini dikatakan berada di dasar laut jutaan tahun lalu.




Terkecil

Selepas 20 minit dilambung ombak, dataran kelabu Taman Negara Bako
mula kelihatan. Untuk sampai ke destinasi, pengunjung perlu meranduk air
separas lutut sebelum merentasi dataran kelabu yang terbentuk daripada
padatan butiran pasir halus selama lebih kurang 15 minit.

"Berjalan di dataran pasir ini adalah pengalaman yang cukup
mengujakan apatah lagi pemandangan di sini sangat menarik. Lihat sahaja
cenuram bukit batu yang menghijau di sebelah kiri anda. Ia sungguh
menakjubkan.

"Saya kira ini adalah permulaan yang baik untuk pengembaraan saya,"
ujar Ian Wedrick, seorang pelancong solo berusia 63 tahun dari New
Zealand.

Tiba sahaja di pekarangan ibu pejabat Taman Negara Bako, sambutan
ucapan selamat datang yang diterima para pengunjung juga sangat unik,
malah mungkin ia hanya boleh ditemui di sini.

Jika anda membayangkan tarian gemalai daripada barisan penari jelita
yang diiringi alunan merdu petikan sapeh, bayangan itu silap sama sekali
kerana satu-satunya penyambut tetamu yang tidak pernah jemu
mengalu-alukan kedatangan anda ke taman negara ini ialah babi hutan.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak
(Kawasan Perlindungan Bahagian Pemuliharaan dan Biodiversiti), Oswald
Braken Tisen, bilangan babi hutan di Taman Negara Bako memang banyak.

"Di sini kami amalkan konsep mesra alam, mesra haiwan. Sungguhpun
bilangannya banyak, babi hutan tidak suka bercampur dengan manusia.

"Hanya tiga empat ekor yang suka muncul di khalayak umum seperti yang
anda lihat hari ini. Ia juga sudah jinak dan tidak pernah menyerang
manusia. Jika ada pengunjung yang kurang selesa, mereka boleh
menghalaunya," ujar Oswald.

Beliau menjelaskan, taman negara tersebut merupakan yang tertua di Sarawak.

"Mempunyai keluasan 27 kilometer persegi, ia adalah taman negara
terkecil di Asia Tenggara. Sungguhpun saiznya kecil, hampir keseluruhan
spesies flora di Kepulauan Borneo yang merangkumi Sarawak dan Sabah,
Malaysia serta wilayah Kalimantan, Indonesia, boleh ditemui di sini,"
katanya.



TUNGGUL laut ini menjadi identiti Taman Negara Bako.



Bukit dalam laut

Selain itu, jelas Oswald, taman tersebut turut merekodkan 316 spesies
tumbuhan, 22 spesies burung, 24 spesies haiwan reptilia dan binatang
berdarah sejuk, 57 spesies mamalia termasuk monyet proboskis atau monyet
belanda.

"Kalau bernasib baik, anda boleh terserempak dengan ikan lumba-lumba di perairan taman negara ini," ujarnya.

Tidak hanya itu, banyak lagi haiwan lain yang boleh ditemui di taman ini termasuklah biawak, memerang dan tupai.

"Keunikan lain di Taman Negara Bako, ia mempunyai tujuh ekosistem
lengkap iaitu tumbuhan pantai, tumbuhan cenuram, hutan kerangas, hutan
bakau, hutan diteroka campuran, padang rumput dan hutan paya gambut.

"Kepelbagaian biologi seperti ini membuktikan kekayaan yang terdapat di taman ini," ujarnya.

Menyediakan jumlah trek yang banyak, Taman Negara Bako memudahkan
penjelajahan denai dengan memberi rundingan dan panduan serta
membekalkan peta trek secara percuma di ibu pejabat taman negara yang
terletak di Teluk Assam.

Trek terpanjang di taman ini ialah sejauh 10.5 kilometer yang menuju
ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek merupakan trek ke Tanjung
Sapi dengan jarak 800 meter.

Mengambil keputusan untuk menyusuri trek menunju Telok Pandan Kecil
sepanjang 2.5 kilometer, laluan yang ditanda dengan cat kuning ini tidak
kurang mencabarnya.

Berjalan di atas pelantar kayu yang didirikan di kawasan hutan bakau,
trek akan melewati kawasan hutan yang muka buminya agak mencanak dan
dipenuhi akar pokok, batu dan pasir.

Penjelajahan diteruskan dengan mendaki bukit setinggi 500 meter dari
aras laut. Ketahanan fizikal teruji apabila terpaksa menempuh laluan
berbukit sejauh kira-kira 1.3 kilometer.

"Tahu tak anda sedang berjalan di atas apa sekarang?" tanya Lenjoe.

"Pastinya tanah berbukit," jawab saya.

"Anda salah. Apa yang kita daki dari tadi bukanlah tanah, sebaliknya
campuran batu, pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu yang
berselirat.

"Kalau tak percaya, cuba hentakkan kaki. Permukaannya lembut seperti span bukan?"

"Memandangkan kawasan ini dipenuhi pasir, daun-daun kering dan
akar-akar kayu, andainya taman negara ini terbakar, hutan ini memerlukan
1,000 tahun lagi untuk jadi seperti sekarang," katanya.



PERJALANAN menaiki bot dari Kampung Bako mengambil masa 20 minit untuk sampai ke Taman Negara Bako.




Penjelasan lelaki yang sudah berbelas tahun menjadi pemandu pelancong
ini menambah keterujaan kami untuk terus mendaki walaupun ketika itu
nafas sudah mula mengah.

Tiba di kawasan bukit batu, Lenjoe memberitahu, 100 juta tahun lalu, batu itu letaknya di dalam laut.

"Ia dapat dibuktikan dengan tanda hakisan yang memanjang ini. Hampir
setiap inci permukaan bukit ini mempunyai tanda hakisan yang sama.

"Mengikut kajian, batu bukit ini mengandungi batu, silika dan ferrous
oksida. Kalau nak tahu, pada zaman dahulu, orang menjadikan ferrous
oksida ini sebagai senjata," ujarnya lagi.
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum