Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Stadium Merdeka kian dilupakan

View previous topic View next topic Go down

Stadium Merdeka kian dilupakan

Post by Park Deen on Fri Aug 31, 2012 10:35 am

Stadium Merdeka kian dilupakan (Kosmo)



Stadium Merdeka yang menjadi saksi kemerdekaan Malaysia dan lokasi acara sukan bertaraf dunia kini semakin dilupakan.







BIARPUN jarak kediaman Datin Paduka Wan Intan Wan Ahmad Tajuddin di
Pelabuhan Klang, Selangor dengan Stadium Merdeka 37.3 kilometer,
perasaannya pasti bercampur-baur setiap kali teringatkan kenangan di
bangunan ikonik itu.

Matanya berkaca manakala perbualan Wan Intan yang sentiasa ramah dan
bertenaga walaupun usianya sudah menjangkau 81 tahun serta-merta
terhenti dan dalam nada tersekat-sekat dia meneruskan kata-kata.

Pengalaman nenek kepada empat orang cicit itu bukan calang-calang.
Beliau merupakan insan bertuah kerana berada di Stadium Merdeka ketika
Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

"Sehingga sekarang, imej Tunku saat beliau melaungkan perkataan
merdeka masih jelas pada pandangan mata saya," ujar Wan Intan yang
ketika tarikh keramat itu terjadi, dia baru berusia 26 tahun.

Suasana ketika itu sangat hebat. Dengan kapasiti penonton seramai
20,000 orang, Stadium Merdeka dipenuhi lautan manusia tanpa mengira kaum
sambil memberi gambaran pada waktu itu.

Tambah Wan Intan, sebelum pengisytiharan, Tunku Abdul Rahman
memberikan ucapan. Pada waktu itu suasana di stadium menjadi begitu
sunyi kerana semua tekun mendengar amanat Tunku.

Wan Intan yang kini menetap di Kampung Raja Uda, Klang masih aktif
melakukan kerja-kerja kebajikan terutamanya melibatkan anak-anak yatim.



LAUNGAN Tunku Abdul Rahman (dua dari
kiri) di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 menjadi lambang kemerdekaan
Malaysia sehingga kini.




Beliau dan adiknya, Wan Intan telah menempuh perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sehari sebelum 31 Ogos.

Detik penurunan bendera Union Jack pada pukul 12 tengah malam pada 31
Ogos 1957 juga sempat disaksikan oleh kedua-dua beradik itu.

Berlangsung di Padang Sultan Sulaiman yang kini dikenali sebagai
Dataran Merdeka, orang ramai memenuhi kawasan padang sehingga tidak
nampak rumput, kata Wan Intan.

Di stadium pula, mereka bertuah kerana dapat duduk di hadapan pentas yang menempatkan acara pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.

Pengalaman berada pada acara tersebut benar-benar memberi pengajaran
dan kesedaran kepadanya sepanjang hayat mengenai jerih-perih pejuang
dahulu menuntut kemerdekaan.

Stadium Merdeka yang terletak di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur itu
dibina pada 25 September 1956 dan siap sepenuhnya pada 21 Ogos 1957.

Pada awalnya, stadium tersebut dibina bertujuan sebagai lokasi
pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu sekali gus menjadi lambang
kepada status kemerdekaan Malaysia sehingga kini.

Kata Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Tunku
Abdul Rahman memberi idea untuk membina sebuah stadium untuk acara
tersebut selain menjadi tempat orang ramai berkumpul.

Tambahan pula, Tunku merupakan seorang yang aktif bersukan terutamanya ketika menuntut di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Sesuai dengan fungsinya sebagai kemudahan sukan, Stadium Merdeka
menjadi lokasi penting dalam penganjuran banyak acara sukan berkelas
antarabangsa.



WAN INTAN masih jelas mengingati saat beliau berada di dalam Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.



Bertaraf antarabangsa

Sepanjang dekad 60-an hingga 80-an, Stadium Merdeka begitu gah dan
meriah dengan aktiviti sukan terutamanya bola sepak melalui penganjuran
Pesta Bola Merdeka.

Perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan Kemerdekaan
dianjurkan setiap tahun selepas tarikh 31 Ogos. Ia bertaraf antarabangsa
dan mendapat perhatian orang ramai.

Selain itu, Stadium Merdeka juga menjadi tempat utama dalam
penganjuran sukan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEA) dan Sukan
Malaysia (Sukma). Bagi acara bukan balapan pula, Kelab Kilat Tenaga
Nasional Berhad (TNB) di Bangsar dan Stadium Negara serta Stadium Chin
Woo menjadi tumpuan.

Pesara juruteknik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Khalib Mat, 63,
yang bertugas di bahagian luar studio kerap berada di Stadium Merdeka
ketika zaman kegemilangan lokasi sukan itu.

Ujarnya, hampir 90 peratus program yang dianjurkan di Stadium Merdeka
berbentuk sukan. Premis tersebut dijaga sebaik mungkin terutamanya di
bahagian padang rumput.

Setiap kali acara sukan dianjurkan, orang ramai berpusu-pusu seawal
pukul 4 petang untuk memasuki stadium. Suasana sesak begitu jelas
kelihatan mungkin kerana pintu masuk tidak banyak manakala penonton
begitu ramai.

"Ketika itu tidak banyak syarikat yang membawa artis-artis antarabangsa ke Malaysia untuk mengadakan persembahan.

"Tempat acara yang besar pula tidak ada kecuali Stadium Merdeka.
Jadi, acara-acara sukan menjadi hiburan bagi rakyat Malaysia pada waktu
itu," ungkap Khalib ketika ditemui di rumahnya di Bangi, Selangor.

Pada masa itu, para pengulas sukan seperti Hasbullah Awang dan Rahim
Razali begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia manakala pemain
bola sepak misalnya, Allahyarham Mokhtar Dahari menjadi bintang pujaan.

Tambahan pula, bola sepak Malaysia ketika itu amat digeruni pasukan
lawan seperti dari Korea, kata lelaki dari Nibong Tebal, Pulau Pinang
itu.



KHALIB (tiga dari kiri) ketika bertugas di bilik berita RTM di Stadium Merdeka.




Acara besar

Tugas Khalib semasa berkhidmat dengan RTM adalah membuat susun atur
keseluruhan litar elektrik dalam bilik penyiaran setiap kali ada acara
luar studio dibuat.

Bukan untuk RTM sahaja, jika terdapat syarikat penyiaran luar yang
mahu membeli hak siaran, lelaki yang mula bekerja di Kuala Lumpur pada
tahun 1977 itu turut bertanggungjawab.

Selain sukan, terdapat beberapa acara berbentuk keagamaan dianjurkan
di situ seperti sambutan Maulud Nabi, dan Majlis Tilawah al-Quran
Peringkat Antarabangsa serta kebangsaan.

"Hanya majlis tilawah yang menyebabkan padang rumput rosak kerana pentasnya dibina di tengah-tengah padang," ceritanya.

Ketika itu majlis tilawah diadakan di tempat terbuka menjadikan
suasananya sangat berlainan, penonton pula begitu ramai memenuhi ruang
hadapan pentas.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan tersebut lebih-lebih lagi ia diadakan pada bulan Ramadan," kenang Khalib lagi.

Namun, selepas banyak lokasi sukan mula wujud, aura Stadium Merdeka
mula malap. Ia semakin jelas apabila Stadium Nasional, Bukit Jalil yang
dapat menampung kapasiti kira-kira 100,000 orang pada tahun 1998 dibuka.

Bukan sahaja stadium itu sendiri, tetapi kawasan sekelilingnya turut
sama hilang secara beransur-ansur seperti restoran berdekatan.

"Dahulu, terdapat sebuah restoran menjual lauk kari kepala ikan yang
sangat terkenal tetapi sudah ditutup ketika saya ke sana baru-baru ini,"
ceritanya lagi.

Barangkali, terdapat ekspo-ekspo diadakan di Stadium Merdeka tetapi
tidak dapat memberi impak meriah sama seperti sekitar tahun 70-an dan
80-an.

Stadium bersejarah itu pernah dirancang untuk dirobohkan bagi memberi
laluan pada pembinaan projek komersial bersepadu bernilai RM1 bilion.

Namun, kata Kay Kim, ia dibatalkan selepas mendapat banyak tentangan daripada orang awam.



STADIUM Merdeka begitu gah dengan
aktiviti sukan terutamanya bola sepak melalui penganjuran Pesta Bola
Merdeka sekitar tahun 70-an.




Bangunan bersejarah

Berbanding memori Wan Intan dan Khalib terhadap Stadium Merdeka yang
bersifat semangat kebangsaan, generasi sekarang agak berbeza jika
diteliti tujuan mereka ke bangunan bersejarah itu.

Bermula abad ke-21, banyak konsert telah dianjurkan seperti kumpulan
Linkin Park, Mariah Carey, Avril Lavigne, Justin Biebir, Big Bang dan
banyak lagi di stadium yang mendapat pengiktirafan sebagai bangunan
warisan kebangsaan pada tahun 2003.

Peminat muzik berkumpulan, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 28, pernah
dua kali ke Stadium Merdeka untuk menonton konsert kumpulan Muse dari
United Kingdom.

"Saya memang meminati Muse dan pasti ke lokasi kumpulan itu
mengadakan konsert. Selain di Kuala Lumpur, saya pernah menonton konsert
Muse di Singapura," katanya yang berasal dari Kedah.

Selain konsert Muse yang diadakan pada tahun 2007, Nur Aina juga
pernah ke Stadium Merdeka untuk bekerja di belakang tabir untuk acara
muzik terbesar Malaysia, Rock The World.

Nur Aina mempunyai pendapatnya sendiri mengenai Stadium Merdeka yang
kerap diadakan konsert di situ. Muzik kedengaran sangat jelas apabila
diadakan di Stadium Merdeka, mungkin kerana ruangnya yang kecil
berbanding Stadium Nasional.

Disebabkan pentas dibina di atas padang, hanya separuh bahagian
stadium akan dipenuhi penonton dan penonton yang kelihatan ramai serta
bersesak menjadikan suasana bertambah menarik bagi peminat muzik live
band.

"Stadium Merdeka merupakan tempat yang selesa untuk berkumpul tanpa
tujuan seperti mendengar muzik," ujarnya yang ke Stadium Merdeka
bersama-sama rakan-rakan yang mempunyai minat sama
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum