Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Aprisiasi 55 tahun merdeka

View previous topic View next topic Go down

Aprisiasi 55 tahun merdeka

Post by Park Deen on Thu Aug 30, 2012 4:45 am

Aprisiasi 55 tahun merdeka (Kosmo)









AKTOR yang cukup sinonim dengan watak antagonis, Azhan Abdul Rani
atau dikenali dengan Azhan Rani, 36, memberitahu kemerdekaan bererti
rakyat Malaysia bebas daripada penjajahan.

Meskipun memasang Jalur Gemilang di kereta dan rumah satu kemestian
kepadanya, tetapi tegas anak jati Kuala Kubu Baharu, Selangor itu
semangat dalam diri lebih penting berbanding segala sambutan yang
bersifat fizikal.

"Mengibarkan Jalur Gemilang satu amalan yang bagus. Ia bermakna kita
berbangga dengan negara sendiri, tetapi bagi saya yang paling penting
adalah semangat kemerdekaan yang ditanam dalam diri masing-masing.

"Tidak guna buat sambutan besar-besaran tetapi mereka yang datang
meraikan hanya untuk lihat bunga api atau melihat persembahan yang
disediakan tanpa memahami dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar,"
katanya yang bercuti raya di rumah keluarga di Kuala Kubu Baharu.

Sambung pelakon drama Geng Surau dan Supermak yang mula
berlakon drama pada tahun 2006 itu, dia sendiri pernah menyerap
semangat Tunku Abdul Rahman apabila terlibat dalam persembahan sempena
kemerdekaan di Stadium Kuala Kubu Baharu pada tahun 1993.

"Waktu itu zaman sekolah menengah dan saya berlakon sebagai
pesuruhjaya British yang membawa watikah kemerdekaan kepada Tunku Abdul
Rahman.

"Saya dan rakan-rakan melakonkan semula adegan seperti mana
kemerdekaan yang sebenar pada 31 Ogos 1957. Walaupun hanya berlakon,
ketika laungan merdeka bergema dalam satu stadium, timbul perasaan sebak
yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Suasananya seperti saya betul-betul berada pada waktu merdeka 55
tahun yang lepas. Perasaan itu menyedarkan saya betapa pentingnya kita
sebagai rakyat Malaysia menjaga dan memelihara kemerdekaan yang kita
miliki hari ini," balasnya yang merupakan anak keempat daripada lima
orang adik-beradik.



DUDUK dari depan: Munif Isa, Azhan Rani dan Nad Zainal mempunyai persepsi sendiri tentang sambutan kemerdekaan negara.




Selain itu, Azhan yang kini sedang hangat dengan drama Mana Hilangnya Juwita?
cukup kecewa melihat senario masyarakat Malaysia hari ini yang kurang
nilai patriotik. Buktinya dapat dilihat dengan jelas apabila lagu Negaraku berkumandang.

"Tidak kira di mana-mana sahaja, jika lagu Negaraku berkumandang, ramai yang macam malu buka mulut untuk menyanyi lagu kebangsaan kita.

"Kalau ada yang nyanyi, suaranya tidak jelas. Rasanya ramai antara
golongan dewasa yang sudah lupa dengan lirik lagu tersebut kerana mereka
jarang-jarang menyanyikannya.

"Kalau betul-betul berbangga jadi rakyat Malaysia, jangan malu untuk nyanyi lagu kebangsaan sendiri.

"Senario yang berbeza saya dapat lihat dalam diri rakyat Indonesia
yang tinggal di Malaysia. Mereka akan berdiri dan menyanyi dengan penuh
bangga walaupun ketika itu mereka berada di kedai mamak," kata Azhan
yang sukakan lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Nad Zainal pergi Dataran Merdeka

Farah Nadia Zainal atau Nad Zainal yang kini cukup popular dengan drama Bukan Bidadari pernah menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Bagaimanapun tradisi itu semakin hilang apabila anak tunggal dalam
keluarga itu meningkat dewasa, kesibukan kerja membataskannya untuk
meraikannya seperti zaman kanak-kanak.

"Ketika kecil, ibu dan ayah selalu bawa saya ke Dataran Merdeka sebab
saya suka sangat tengok perbarisan dan perarakan pada pagi 31 Ogos.

"Mungkin masa kanak-kanak pergi ke Dataran Merdeka saya rasa sungguh
meriah dan seronok tanpa memahami pengertian sebenar, bagaimanapun
sedikit sebanyak memori itu mampu mengingatkan saya cara sambutan
kemerdekaan di Kuala Lumpur," ujar gadis berusia 22 tahun itu.

Jelasnya yang menganggap filem klasik Sarjan Hassan sebagai
filem yang mampu membangkitkan perasaan patriotik, sambutan kemerdekaan
lebih terasa ketika zaman persekolahannya sahaja.

"Masa sekolah guru-guru sudah membuat rancangan untuk pelajar apabila
tibanya bulan kemerdekaan. Namun, bila dewasa, saya semakin sibuk,
tiada lagi sambutan yang khusus untuk merdeka," katanya jujur.

Bagaimanapun kata Nad, dia lebih suka menghayati merdeka dengan
menonton filem lama dan dokumentari daripada Arkib Negara yang disiarkan
di laman perkongsian video, YouTube.

"Teknologi sekarang di hujung jari sahaja, jadi saya lebih suka
tengok semula sejarah lama kerana ia secara tidak langsung dapat
menyedarkan saya bukan mudah untuk datuk, nenek dan perwira negara
mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.

"Selain itu, saya jenis yang suka membaca buku biografi tokoh-tokoh
negara kerana saya dapat mengetahui pengalaman mereka untuk membangunkan
Malaysia seperti hari ini," ulasnya yang mula dikenali dengan drama Memberku Hawa.

Nad yang beraya di Ampang, Kuala Lumpur berharap pemimpin Malaysia
lebih berpendirian dan tidak terpengaruh dengan pihak lain terutamanya
negara-negara Barat.



SEMANGAT. Tiga bakat besar industri
tanah air ini menyambut ulang tahun ke-55 Malaysia dengan apresiasi
bangga dilahirkan sebagai warga tempatan.




"Kita boleh tengok dan ikut kejayaan negara di Barat. Mana yang baik
kita ambil, tetapi bukan semua kita boleh ikut. Jika kita bertegas dan
teguh pada pendirian, saya yakin negara Malaysia akan lebih dipandang di
mata dunia.

"Memang sekarang kita bebas daripada penjajah secara fizikal, tetapi
secara mental adakah kita bebas keseluruhannya. terutamanya buat
golongan muda. Penjajahan secara tidak sedar ini yang harus kita lihat
dengan serius," katanya yang cukup bangga menjadi rakyat Malaysia.

Munif Isa sertai perbarisan

Aktor Munif Isa, 30, yang popular menerusi drama BFF Teman Tapi Mesra mengatakan, rakyat Malaysia hari ini tidak perlu merungut atau menindas sesama sendiri.

Katanya, sebagai anak yang lahir selepas zaman merdeka, mereka harus
hargai dan kekalkan keharmonian serta keamanan yang dimiliki.

"Sebelum buka mulut untuk merungut, tanya diri sendiri dahulu apa
sumbangan yang telah kita berikan untuk negara. Bukan mempersoalkan apa
sumbangan negara yang diberikan kepada kita.

"Jika semua rakyat Malaysia sumbangkan sesuatu untuk meningkatkan
prestasi serta kejayaan negara, saya yakin negara kita akan kekal aman
seperti hari ini," katanya yang sukakan filem Bukit Kepong.

Pelakon filem patriotik Tanda Putera itu juga mendefinisikan Malaysia tetap negara yang terbaik berbanding dengan negara lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

"Saya pernah pergi ke China, melihat keadaan rakyatnya di sana
membuatkan saya memanjatkan kesyukuran betapa bertuahnya saya menjadi
rakyat Malaysia.

"Di China selain banyak undang-undang, kebanyakan mereka juga
berjuang untuk meneruskan kehidupan setiap hari. Senario itu sangat
menyedarkan saya bahawa Malaysia tetap yang terbaik," katanya yang
pulang beraya di Kangar, Perlis.

Bercakap tentang sambutan kemerdekaan, Munif yang telah terlibat dalam filem Nur Kasih The Movie, 29 Februari, Jiwa Taiko, Tanda Putera dan terbaharu Susah Betul berkata, dia pernah menyertai perbarisan kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

"Saya pernah sertai perbarisan pada hari kemerdekaan di bawah
persatuan Seniman. Walaupun sambutan kemerdekaan setiap tahun tidak
banyak berubah, tetapi apabila saya sendiri yang sertai perbarisan,
perasaannya agak berbeza.

"Berjalan sambil disaksikan orang ramai dan memberi tabik hormat
kepada pemimpin negara membuatkan saya bangga kerana sekurang-kurangnya
saya melakukan sesuatu untuk hari kemerdekaan daripada sekadar menonton
televisyen di rumah," katanya yang mula berlakon daripada pentas teater.
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum