Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Demi kuasa dan lubuk minyak

View previous topic View next topic Go down

Demi kuasa dan lubuk minyak

Post by Park Deen on Fri Jul 13, 2012 11:56 am

Demi kuasa dan lubuk minyak (Kosmo)









LIMA pulau gunung berapi dan tiga kawasan berbatu yang membentuk
Kepulauan Senkaku menjadi subjek rebutan tiga negara iaitu China, Jepun
dan Taiwan. Kawasan tidak berpenghuni berkeluasan tujuh kilometer (km)
persegi itu terletak di timur laut Taiwan, timur China dan barat daya
Jepun.

Rundingan San Francisco yang dimeterai pada tahun 1951 menyaksikan
Kepulauan Nansei Shoto yang sebelum itu dipegang oleh Amerika Syarikat
(AS) dipulangkan semula kepada Jepun pada tahun 1971.

Pengurusan Kepulauan Senkaku yang terletak di timur laut China itu
pula diserahkan kepada Jepun pada 14 Februari 1985 yang kemudiannya
dijadikan sebahagian daripada Kepulauan Nansei Shoto atau Ryukyu yang
kini dikenali sebagai wilayah Okinawa.

Tiada bantahan disuarakan China dan Taiwan ketika itu sehinggalah
penemuan sumber minyak dan gas asli disahkan di kepulauan berkenaan.

Difahamkan sumber minyak di Senkaku boleh mencecah 100 bilion tong.
Hasil bumi tersebut dianggarkan bernilai AS$6 trilion (RM19 trilion) dan
dikatakan melebihi daripada keluaran negara kasar (KNK) tahunan AS.
Sebagai tambahan, sebanyak 200 bilion meter kubik gas asli juga
bersemadi di kawasan sekitar.

China menyatakan pulau Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu oleh
mereka adalah sebahagian daripada China sejak zaman purba lagi. Ia
menjadi lokasi sumber hasil laut yang penting ketika Taiwan masih berada
di bawah pemerintahan China.

Pada tahun 1996, Jepun mendirikan rumah api di salah sebuah pulau di
kepulauan tersebut. Sekumpulan aktivis China kemudiannya belayar
beberapa kali di kepulauan itu dan dalam satu insiden, seorang aktivis
Hong Kong, David Chan terjun ke dalam laut dan mati lemas.

Selepas itu, cubaan aktivis-aktivis China dan Taiwan untuk memasuki
kawasan kepulauan itu berkurang. Pada tahun 2004, Jepun menahan tujuh
aktivis China yang mendarat di kepulauan itu.

Terdapat juga ketegangan melibatkan bot-bot peronda China dan
kapal-kapal nelayan Taiwan. Pada tahun 2005 pula, 50 bot nelayan Taiwan
mengadakan protes berhampiran kepulauan itu kerana sering dihalau dan
diganggu peronda laut Jepun.

Sorotan pertikaian Senkaku terus meruncing dan yang terbaharu apabila
tiga bot peronda China memasuki perairan kepulauan berkenaan. Hal
tersebut tidak disenangi Jepun yang meminta wakil China tampil membuat
kenyataan.



PULAU Dokdo kini terletak di bawah pengawasan polis Korea Selatan meskipun Jepun masih menuntut hak ke atas pulau ini.




"Sudah jelas bahawa pulau Senkaku terletak dalam wilayah Jepun dengan
mengambil kira pandangan sejarah dan dari segi undang-undang
antarabangsa. Pulau itu di bawah kawalan efektif sepenuhnya oleh kami."
ujar Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Osamu Fujimura.

Namun, China tetap berkeras untuk mendapatkan kedaulatan Senkaku,
malah dikhabarkan memperkuatkan ketenteraan mereka di sekitar perairan
tersebut.

Spratly rebutan enam negara

Perebutan Kepulauan Senkaku hakikatnya telah membawa kita untuk
melihat dengan meluas mengenai perebutan banyak lagi pulau-pulau lain di
Asia Timur.

Hanya beberapa kes berjaya menemui titik penghujung sebagai contoh
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 menetapkan
kedaulatan Pulau Batu Putih diberikan kepada Singapura berbanding
Malaysia.

Selebihnya, persengketaan lain terus panas dan belum berpenghujung.

Sebagai contoh Kepulauan Takeshima atau Dokdo sehingga kini menjadi pertikaian antara Jepun dan Korea Selatan.

Tuntutan yang dilakukan Jepun pada tahun 1905 itu sejajar dengan
rampasan Semenanjung Korea ketika itu. Bagaimanapun Korea Selatan
mendakwa kepulauan itu adalah sebahagian daripada wilayah mereka selepas
mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.



BOT peronda China yang memasuki perairan Senkaku baru-baru ini mencetuskan kemarahan Jepun.




Selain itu, Kepulauan Spratly yang dituntut China, Malaysia,
Filipina, Taiwan, Vietnam dan Brunei mungkin merupakan perebutan paling
epik dalam sejarah.

Kepulauan yang terdiri daripada 190 pulau kecil di kawasan
berkeluasan kira-kira lima km persegi di Laut China Selatan itu
dikhabarkan mempunyai sumber minyak dan gas yang amat menguntungkan.

China menuntut keseluruhan kawasan kepulauan yang didakwa adalah
milik mereka sejak tahun 200 Sebelum Masihi. Negara-negara lain pula
hanya mahukan beberapa bahagian pulau tersebut.

Krisis pergelutan keenam-enam negara itu terjadi selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua.

Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan itu
bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia pada lewat tahun
1970-an.

Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila bagi
mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian
itu dipanjangkan sehingga tahun 2002.

Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani persetujuan bagi
melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas beberapa tahun,
konflik kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut. Filipina
dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi
minyak di kawasan persekitaran.

Perkembangan terbaharu menyaksikan anggota negara Asia mahu
konvensyen maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi asas
penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, China dikhabarkan tidak berminat untuk merujuk kepada PBB.

Yeonpyeong dan Kuril

Permusuhan Korea Utara dan Korea Selatan bukan lagi asing.
Konfrontasi dua negara itu memuncak apabila melibatkan perebutan Pulau
Yeonpyeong. Pulau yang terletak di Garisan Terbatas Utara (NLL) Laut
Kuning itu, kini bertindak sebagai sempadan maritim dua buah negara
tersebut

Korea Utara bagaimanapun menolak NLL yang direka PBB kerana ia dianggap berat sebelah.

Ia menyebabkan Korea Utara melakukan serangan ke atas Korea Selatan pada tahun 2010.



KEPULAUAN Spratly menjadi rebutan enam negara dan masih belum bertemu penyelesaian.




Sementara itu, Kepulauan Kuril yang telah disahkan sebagai hak milik
Rusia kembali dituntut Jepun. Pulau Etofuru, Kunashiri, Shikotan dan
Habomai yang membentuk Kuril dipunyai oleh Kesatuan Soviet pada tahun
1945.

Berdasarkan tuntutan Soviet, kesemua pulau perlu diserahkan kepada
mereka menerusi Perjanjian Pasca Perang Dunia Kedua Yalta dan Potsdam
dan kerajaan Rusia telah pun menetapkan polisi tersebut.

Jepun kekal dengan pendirian mereka yang mengatakan bahagian utara
kepulauan itu ialah sebahagian integral negara mereka yang diambil
secara haram oleh Kesatuan Soviet.

Mengulas lanjut mengenai perebutan pulau-pulau di Asia Timur itu,
Profesor Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohamad Agus Yusoff
menyatakan, ia didorong oleh faktor-faktor seperti maruah, sejarah,
geografi, keselamatan, pertahanan dan sumber alam.

Jelas beliau setiap negara yang menuntut sesebuah pulau mahu menang
demi meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.

"Dalam kes Senkaku, kedudukan strategik di Laut China Timur
menjadikannya lokasi terbaik untuk pembentukan pusat maritim. Selain itu
ia juga berpotensi tinggi untuk pelancongan dan ekonomi menerusi hasil
minyak serta gas asli.

"Sebagai contoh sekiranya China atau Jepun memenangi tuntutan dan
kemudiannya mendirikan markas ketenteraan laut di kepulauan itu, Taiwan
pasti bimbang dengan keselamatan negara mereka," katanya.
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum