Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Tunggang motor umur empat tahun

View previous topic View next topic Go down

Tunggang motor umur empat tahun

Post by Park Deen on Mon Apr 30, 2012 5:41 am

Tunggang motor umur empat tahun








SEWAKTU kecil, aksi lasaknya dengan motosikal membuatkan ahli
keluarga terutama ibunya sentiasa dihantui kebimbangan. Bagaimanapun
kata Eigo Sato, keghairahannya menunggang motosikal seperti tidak mampu
dikawal lagi.

Ujar lelaki itu, memang agak pelik apabila mendengar seorang
kanak-kanak berusia seawal umur empat tahun sudah ghairah menunggang
motosikal.

"Tapi itulah saya," katanya sambil tertawa kecil.

Namun kata Sato, apa juga persepsi yang dilemparkan kepadanya, dia tidak kisah.

Ceritanya ketika ditemui dalam satu pertemuan baru-baru ini, pada
peringkat awal berkecimpung dalam arena sukan ekstrem itu, tanah lapang
di sekitar Fukushima menjadi tempat dia akan mengekspresikan
keghairahannya.



KEMUNCULAN Sato akan memberi peluang
kepada pengunjung sambutan Hari Belia Negara 2012 menyaksikan pelbagai
aksi ngeri dalam lumba motosikal lasak bebas ekstrem yang popular di
Amerika Syarikat dan Jepun.




"Apabila sudah minat, kita sanggup melakukan apa sahaja," katanya
sambil menyifatkan dirinya seorang yang suka dengan cabaran dan berani
melakukan sesuatu di luar norma kebiasaan.

Kata Sato, sukan motor lasak sering dikaitkan dengan kecederaan. Bapa
kepada dua anak itu secara berseloroh berkata, dia sudah lali dengan
kecederaan.

Ada kebenaran di sebalik kata-katanya. Ketika wawancara sedang rancak
berlangsung, dia acapkali memegang pinggangnya dan sekali-sekala
membetulkan posisi duduknya.

"Pinggang saya tercedera ketika berlatih sebelum pertandingan Red
Bull X-Fighters FMX berlangsung baru-baru ini. Saya sudah pergi urut
tapi kesannya masih terasa," ungkapnya perlahan.

Sememangnya Sato seorang yang senang untuk didekati dan peramah. Ahli
sukan antarabangsa itu juga tidak lokek menceritakan tentang susur
galur dan kerjayanya.

Kata anak kelahiran Fukushima, Jepun itu lagi, kemuncak kepada
minatnya dalam sukan motor lasak atau motocross itu bermula tatkala dia
menonton sebuah video yang memaparkan aksi seorang penunggang motosikal
profesional beraksi pada satu kejohanan.

"Pada waktu itu, aksi lasak berkenaan masih belum ada nama khusus.
Tapi selepas ia mula mendapat perhatian, baharulah ia dikenali sebagai
International Freestyler Motocross (FMX).

"Sejak itu, kesukaan saya kepada sukan ini semakin meluap-luap dan
tak mampu dihalang oleh sesiapa lagi," katanya yang terbang ke Amerika
Syarikat (AS) untuk mempelajari dan mengadakan latihan di salah sebuah
pusat sukan motor lasak di negara itu.

Peminat fanatik

Kepada sesetengah rakyat Malaysia, sukan ekstrem itu barangkali
kurang meniti di bibir masyarakat. Namun, ia mempunyai kumpulan peminat
fanatiknya tersendiri dan nama Sato bukan asing kerana dia merupakan
jaguh yang bukan calang-calang.

Selain dinobatkan sebagai rakyat Jepun pertama yang paling cemerlang
dalam FMX pada tahun 2003, kejayaan berturut-turut yang dilakarkannya
sejak tahun 2005 hingga 2012, meletakkan dirinya dalam kelompok 10
penunggang motor lasak terbaik dunia.

Untuk rekod, Sato daripada pasukan Freaking Good Motor-X Tour (FGMT)
merupakan antara perintis kepada sukan ekstrem berkenaan di negara
Matahari Terbit itu.

Bersua muka dengannya usai tamat pertandingan Red Bull X-Fighter FMX
di Jumeirah, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini,
sememangnya penulis menemui sisi lain seorang yang bernama Sato.

Lelaki yang hanya tampil santai dengan baju T berwarna gelap,
berseluar pendek dan bertopi itu memberitahu, karakternya sama sekali
tidak sama seperti beraksi di gelanggang yang berlitarkan tanah dan
debu.

"Bila menunggang motosikal, kita kena 100 peratus menumpukan
perhatian, kita kena serius tetapi apabila di luar, saya seperti orang
lain.



SATO bersyukur kerana keluarganya
sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya sebagai pemandu sukan
motor lasak yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental.




"Apabila berada di rumah pula, saya adalah bapa kepada seorang isteri
dan dua anak yang sedang membesar," katanya yang terus menyeluk telefon
bimbit iPhone dari kocek seluarnya secara tiba-tiba.

Sambil tersenyum-simpul, seperti mengimbau memori-memori indah, dia
menunjukkan satu persatu foto keluarganya kepada penulis. Ujarnya,
setiap gambar yang dirakamnya, ada cerita di sebaliknya.

"Saya nampak lainkan bila saya berada di rumah? Mahu tahu kenapa? Di
rumah saya adalah seorang bapa kepada dua cahaya mata iaitu Sato Edai,
2, dan Sato Anna, enam bulan. Apabila berada di rumah, tanggungjawab
saya lebih besar," katanya yang fasih berbahasa Inggeris.

Sato galak bercerita tentang sukan yang sudah pun menjadi kariernya
sejak tahun 1982. Lelaki berusia 34 tahun itu mengakui, wujud
kebimbangan dalam kalangan keluarga dan isterinya, Sato Kaori meskipun
sudah lebih dua dekad dia beraksi dalam pertandingan di merata ceruk
dunia.

Terbang di udara

"Keluarga saya memberi saya sokongan sepenuhnya tapi mereka tak dapat
menyembunyikan ketakutan mereka apabila melihat saya cedera.

"Tapi apa-apa pun saya tetap tidak akan berganjak dan tak akan berhenti daripada menunggang motosikal," tegasnya.

Terbang di udara bersama motosikal yang lebih berat daripada berat badannya itu, membuatkan diri Sato puas.

"Apabila saya melakukan pelbagai aksi terbang di udara, mata saya
akan terus memandang ke langit dan daripada situlah, seorang pemandu
seperti saya terasa diri bebas dan kuat," ujarnya.

Sesungguhnya, perjalanan Sato sebagai penunggang motor lasak dunia tidak mudah seperti yang disangka.

Dia berterus-terang memberitahu, kerajaan negeri Jepun tidak menyokong kerjayanya sebagai penunggang sukan motor lasak.

Ujar Sato, kerajaannya masih berpegang kepada prinsip bahawa sukan ekstrem itu membahaya nyawa rakyatnya.

Namun begitu, persepsi itu secara perlahan-lahan cuba dikikisnya
apabila tahun demi tahun, dia menghadiahkan kejayaan demi kejayaan dalam
pertandingan yang disertainya di peringkat dunia.

Dalam pada itu, Sato mengakui bahawa sukan itu sering dikaitkan dengan gejala negatif.



INISIATIF MBM ini akan menjadi
pemangkin kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah dan pusat
persinggahan sukan permotoran lasak satu hari nanti.




"Sebenarnya ia sekadar imej yang sengaja dan sering
digembar-gemburkan saja tapi hakikatnya, pandangan itu tidak tepat.
Lagipun, untuk sukan ini, kami tidak berada di atas jalan raya tetapi di
atas tanah. Kami juga tidak menunggang secara semberono sebaliknya
memakai kelengkapan keselamatan dan sukan ini sudah diiktiraf dunia,"
katanya panjang lebar.

Sato memberitahu, dia mempunyai gagasan besar untuk sukan motocross dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Selain mahu menganjurkan lebih banyak lagi kejohanan di Jepun, dia
bersama-sama rakan-rakannya mahu melebar dan mempopularkan sukan ini di
peringkat Asia Tenggara. Inisiatif Sato itu akan bermula pada Himpunan
Jutaan Belia 2012 pada 23 hingga 27 Mei ini apabila dia akan beraksi
bersama pasukannya sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum