Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Merungkai misteri tenggelamnya Titanic

View previous topic View next topic Go down

Merungkai misteri tenggelamnya Titanic

Post by Park Deen on Fri Apr 13, 2012 9:55 am

Merungkai misteri tenggelamnya Titanic








WALAUPUN sudah 100 tahun berlaku, tragedi kapal mewah RMS Titanic
yang tenggelam di Lautan Pasifik masih lagi menjadi tanda tanya para
pengkaji.

Bagaimana sebuah kapal yang dilengkapi teknologi paling canggih
ketika itu dan didakwa tidak mungkin tenggelam akhirnya 'tersungkur' ke
dasar laut disebabkan berlanggar dengan bongkah ais, pukul 11.40 malam
(waktu kapal) pada pagi Ahad 14 April 1912, sebelum ia tenggelam
sepenuhnya dalam tempoh dua jam empat puluh minit kemudian iaitu pada
pukul 2.20 pagi Isnin (15 April 1912).

Sehingga kini aura misteri itu masih kekal bersama 'bangkai' kapal
itu di dasar Lautan Pasifik, namun saluran History (Saluran Astro 555)
buat pertama kalinya akan mendedahkan penemuan-penemuan terbaharu
mengenai tragedi Titanic kepada umum.

Bersempena ulang tahun ke-100 tragedi Titanic, saluran History akan
mempersembahkan sebuah dokumentari berjudul Titanic Mystery Solved pada
15 April ini.

Dokumentari itu akan merakamkan detik-detik misi paling mutakhir,
mendedahkan cebisan-cebisan bangkai kapal Titanic yang tidak pernah
dilihat sebelum ini.

Usaha yang turut melibatkan pakar-pakar kajian laut termasuk pihak
dari RMS Titanic Inc. itu akan mendedahkan penemuan baharu dan peta
pertama komprehensif bagi tempat persemandian Titanic. Ia meliputi
sebuah kawasan lantai laut seluas 13 kilometer persegi dan kewujudannya
dapat membantu merungkai teka-teki sekurun usia tentang kesilapan apakah
yang telah berlaku dan menentukan siapa atau apa yang bertanggungjawab
ke atas tragedi tersebut.

Salah seorang yang turut terlibat dalam ekspedisi penemuan baharu
kapal Titanic itu adalah Penerbit Eksekutif dokumentari Titanic Mystery
Solved saluran History, Carl Lindahl.

Menurutnya, terdapat banyak misteri yang berputar tentang kapal
Titanic iaitu bagaimana kapal yang sepatutnya tidak boleh tenggelam
boleh tenggelam dalam pelayaran pertama secara ironiknya.

"Apa yang menyebabkan kapal Titanic tenggelam? Bagaimana kapal yang
begitu bagus boleh tenggelam dan bagaimana begitu ramai orang mati.
Soalan-soalan ini tidak pernah terdedah dan dijawab sepenuhnya.
Disebabkan itu, mengapa kami dan para pengkaji lain masih melakukan
pencarian dan setelah 100 tahun kejadian itu berlalu kami sudah menemui
jawapannya," ujarnya.

Ia turut dipersetujui oleh pengarah, penerbit dan penulis dokumentari yang sama iaitu Rushmore Denooyer.

Menurutnya: "Kapal yang mempunyai teknologi terbaik sepatutnya tidak
dapat tenggelam tetapi ia tenggelam pada perjalanan pertama dan dua
pertiga orang di dalam kapal itu mati".

Merungkai bagaimana penemuan kali ini akan mengubah sejarah Titanic,
Ungkap Carl, ia adalah jawapan kepada beberapa misteri yang masih belum
dapat diselesaikan sejak kapal itu tenggelam.

Menyambung bicara Carl, ujar Rushmore pula, Titanic merupakan kapal
pertama yang tenggelam dikaji dengan teliti dan didokumentasikan.

"Ekspedisi ini akan menceritakan semuanya. Tiada ekspedisi dan
pemetaan dilakukan secara menyeluruh dan teliti seperti mana kali ini.

"Ia merupakan satu anjakan paradigma untuk semua pihak yang mengkaji
kapal karam. Saya fikir dengan penemuan baharu yang akan disiarkan di
saluran History nanti akan mengubah sejarah Titanic," ujarnya.

Mengenai sama ada pihak saluran History turun ke dasar laut untuk
melihat sendiri bangkai kapal Titanic, kata Rushmore, tiada seorang
manusia pun yang turun ke dasar laut melihat kapal tersebut.

"Semua kerja siasatan dilakukan dengan menggunakan beberapa robot
untuk mengambil beribu-ribu gambar serta membuat rakaman video tentang
keadaan bangkai kapal yang tenggelam sedalam empat kilometer di dasar
laut itu.



TITANIC mampu terapung dengan
sebarang dua ruang tengah dipenuhi air atau empat bahagian pertama
dipenuhi air. Sekiranya lebih daripada itu, ia akan tenggelam.




"Gambar yang diambil menggunakan kamera berteknologi tinggi itu
dengan jelas menunjukkan keadaan landasan dan sauh kapal tersebut. Robot
tersebut membawa turun lima hingga tujuh buah kamera dan ia dikawal
oleh operator di atas kapal," ulasnya.

Berkongsi pengalaman ekspedisinya, kata Rushmore, mereka ada menemui beberapa objek yang agak kecil seperti saiz pintu.

"Ada juga objek seperti pinggan, pakaian, kasut serta botol wain yang masih kelihatan," ulasnya lagi.

Menurut Rushmore, gambar yang diambil memberi pemahaman yang lebih
jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku ke atas kapal itu pada 15
April 1912.

Gambar-gambar itu juga adalah hasil pelaburan bernilai puluhan juta
ringgit serta ekspedisi selama dua bulan yang menggunakan beberapa
pendekatan berbeza untuk mendapatkan imej yang tidak pernah dilihat
sebelum ini.

"Imbasan tepi dan multi sinaran sonar digunakan untuk menyimpan
setiap butiran kapal itu dan menilai perubahan yang berlaku sejak
ekspedisi sebelum ini," katanya.

Jelas Rushmore lagi, ekspedisi tersebut diketuai oleh RMS Titanic
Inc. yang telah pergi ke lokasi Titanic tenggelam pada masa lalu dan
mengumpul lebih 5,000 artifak.

"Di samping itu, pakar pengimejan dalaman air yang terbaik pula
menyediakan kami alat sonar ekspedisi untuk bekerja dan mewujudkan peta
ini ke atas keseluruhan tapak tragedi. Terdapat banyak kontraktor lain
serta saintis. Ia merupakan satu kumpulan yang sangat majmuk," jelasnya.

"Terdapat banyak kumpulan dan individu yang berbeza bekerja dalam
ekspedisi ini. Sebagai contoh, mereka yang menghasilkan sonar
pengimbasan tapak yang telah digunakan dalam ekspedisi ini," balas Carl
pula.

Carl dan Rushmore turut menjawab persoalan mengenai kejadian Titanic
karam yang dikaitkan dengan mitos kononnya berlaku sumpahan ke atas
kapal tersebut.

Tambah Carl, tragedi Titanic tenggelam sangat ironik dan dramatik.
Manusia membuat ramalan bahawa kapal tersebut tidak akan tenggelam.
Namun perkara yang sebaliknya berlaku apabila ia tenggelam dalam
pelayaran sulungnya. Ia seolah-olah satu sumpahan.

"Saya belum dengar apa-apa legenda atau sumpahan mengenai Titanic jadi saya tidak boleh mengulas tentang itu," ujarnya.

Ia turut dipersetujui Rushmore yang memberitahu, manusia
kadang-kadang alpa dengan teknologi yang canggih tanpa menyedari ada
kuasa lain yang mampu memusnahkan teknologi tersebut.

"Kita kadang-kadang menjadi terlalu kagum dengan teknologi ciptaan
sendiri dan kita sering melupakan kuasa alam semula jadi. Dengan
kemajuan teknologi kita tidak dapat mengawal alam semula jadi. Walau
bagaimanapun, alam semula jadi masih lebih kuat daripada teknologi yang
kita ada," ujar Rushmoore.

Sementara itu, Pengurus Besar, AETN All Asia Networks, Louis Boswell
pula berkata, selain daripada membuat pemetaan ke atas keseluruhan tapak
tragedi, siaran istimewa itu juga akan mendedahkan buat julung-julung
kalinya gambaran sebenar bagaimana kapal itu boleh terbahagi lalu karam
melalui penggunaan hangar virtual.

"Teknik siasatan nahas kapal angkasa ulang-alik dan pesawat (membuat
pemetaan ke atas tapak bangkai kapal dan menyusun semula di hangar)
digunapakai dan para pakar akan menghasilkan satu binaan holografik bagi
tapak bangkai kapal di hangar.

"Belum pernah ada sebarang rancangan sempena ulang tahun lain yang
memaparkan kisah eksklusif tentang ekspedisi unik dan pendedahan cukup
luar biasa ini. Dalam tempoh 25 tahun semenjak bangkai kapal Titanic
ditemui, tiada siapa pernah meneroka mahupun memetakan kawasan tapak
bangkai kapal.

"Tiada siapa yang memiliki sebarang petunjuk akan apa yang sebenarnya
telah berlaku pada malam nahas itu. Hampir separuh daripada kawasan
tapak tidak dapat dijelajahi dan diperlihat. Malah, bahagian penting
kapal yang mampu mendedahkan bagaimana ia boleh terbahagi juga tidak
kelihatan," ujarnya.

Kini selepas 100 tahun, ulas Louis, setiap inci tapak karamnya kapal
ini akhirnya telah pun diketahui. Dokumentasi dilakukan bagi merakamkan
tempat sebenar ia tunduk karam di lantai laut sedekad yang lalu.

Katanya, di penghujung kisah Titanic Mystery Solved, penonton
akhirnya akan mengetahui keseluruhan kisah yang membawa kepada
bersemadinya Titanic di dasar laut.



Penemuan sulung bangkai kapal
Titanic pada tahun 1985 oleh pasukan yang diketuai oleh Jean-Louis
Michel dan Robert Ballard menjadikan Titanic kekal terkenal sehingga
kini.




"Kisah kapal Titanic yang tenggelam telah menarik minat jutaan
manusia di segenap pelosok dunia sehingga ia menjadi inspirasi kepada
sebuah filem yang berjaya sepanjang zaman.

"Semuanya itu telah memperhalusi sejarah kejadian buat ramai orang.
Kami mahu melihat semula tragedi ini dari sudut saintifik dan mencari
kebenaran di sebalik apa yang telah terjadi pada malam 15 April 1912.

"Oleh itu Titanic Mystery Solved merupakan bingkisan terhebat yang
menjelaskan bagaimana Titanic telah karam dan ia turut mengungguli
program-program lain yang pernah dibuat bersempena dengan ulang tahun
sesuatu," ujarnya lagi.

Sejak ahli oseanografi, Robert Ballard dan kumpulannya menemui
bangkai kapal Titanic itu pada 1985, beberapa ekspedisi telah dilakukan
untuk mengumpul maklumat tentangnya sehingga kini.

Pengarah filem Titanic, James Cameron turut mengadakan ekspedisi ke
lokasi itu bagi mendapatkan gambaran jelas tentang keadaan rupa bentuk
kapal tersebut.
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum