Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Hikmah menulis wasiat sendiri

View previous topic View next topic Go down

Hikmah menulis wasiat sendiri

Post by Park Deen on Wed Jun 05, 2013 4:29 am











SEJAK ibunya meninggal dunia lima tahun lalu, Masyitah Mohamed, 54,
masih buntu memikirkan urusan hal tanah pusaka milik ibunya. Meskipun
hal tersebut sudah diketengahkan kepada adik-beradiknya untuk mencari
penyelesaian, Masyitah pula dituduh yang tamakkan harta.

Hakikatnya, beliau mahu meringankan beban yang ditanggung arwah ibu.
Lebih malang, isu tersebut menyebabkan dia dan adik-beradiknya tidak
bertegur sapa.

"Sejak itu saya tidak lagi membangkitkan isu tanah tersebut. Mereka
sukar dibawa berunding. Saya sedar bahawa masalah akan menjadi semakin
rumit jika seorang demi seorang daripada kami meninggal dunia," katanya
yang mempunyai lapan beradik.

Masyitah mungkin merupakan salah seorang daripada ribuan masyarakat Islam yang berdepan dengan masalah tersebut.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Md. Ghazali Ibrahim, 41, yang
berpengalaman menyiapkan lebih 5,000 surat wasiat secara sukarela
sebelum ini.

Menurut adik kepada bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani,
arwah Ustaz Asri Ibrahim itu, orang- orang dahulu mereka lebih gemar
berwasiat dengan mulut sahaja tanpa dokumen yang akhirnya menimbulkan
masalah.

Sebab itulah, kata Md. Ghazali, apabila berlaku kematian,
adik-beradik perlu duduk berbincang dan dokumenkan apa yang pernah
disuarakan oleh ibu bapa.

"Buat surat persetujuan sebelum ke pejabat pusaka dan mahkamah. Orang
kita tidak faham, apabila sebut sahaja faraid, ia jadi wajib.

"Memang faraid wajib jika menemui jalan buntu. Kita perlu juga ingat
wasiat si ayah ketika masih hidup, sepakatlah adik-beradik," saran
beliau ketika ditemui di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala
Lumpur.

Tuntutan membuat wasiat ini, ujar panel program kuliah Solat di TV
AlHijrah itu turut termaktub dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 180
hingga 182, "Diwajibkan ke atas kamu membuat wasiat apabila datang
tanda-tanda kematian."

Hampir sedekad berkecimpung dalam bidang faraid, wasiat dan pusaka,
bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Sungai Bertih, Klang,
Selangor itu kemudiannya mengambil keputusan membukukan pengalaman
beliau dalam hal ehwal faraid dan wasiat.

Beliau membukukan pengalamannya itu selepas hampir dua tahun
berkecimpung dalam bidang tersebut. Sebelum itu, beliau aktif mengadakan
ceramah ke seluruh Malaysia, bersiaran di radio dan televisyen.



SEBENARNYA semua orang boleh menulis wasiat tetapi mereka tidak tahu gaya bahasa yang betul.




Rujukan orang ramai

Alasan beliau mudah dan ada logiknya. "Lazimnya, orang mudah terlupa
jika sekadar mendengar ceramah, jadi apabila dibukukan, mereka bukan
sahaja boleh simpan buat rujukan, malah boleh dihadiahkan kepada
rakan-rakan," kata Md. Ghazali yang tampil dengan buku pertamanya iaitu
Kenapa Mesti Merancang Pusaka yang diterbitkan pada tahun 2006 dan 2007.


Selepas tamat pembelajaran di peringkat menengah, Md. Ghazali
melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran dan Tahfiz di Karachi,
Pakistan. Beliau kemudiannya menyambung pengajian Bahasa Arab di
Kaherah, Mesir.

Ketika meneruskan pengajiannya di Baghdad, Iraq selama enam tahun
untuk ijazah syariah pengajian Islam, Md. Ghazali berkesempatan
bertalaqi dengan beberapa ulama di Baghdad.

Hari ini, banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat pada harga antara RM300 sehingga RM5,000.

Namun, Md. Ghazali menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati
kerana ada pelanggan yang tidak pernah melihat surat-surat wasiat yang
dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan.

"Buku Nota Wasiat hasil tulisan saya boleh dijadikan rujukan orang ramai jika ingin menulis wasiat sendiri.

"Sebenarnya semua orang boleh tulis wasiat tetapi mereka tidak tahu
gaya bahasanya. Jadi, di dalam buku tersebut ada disertakan contoh
surat-surat wasiat dan hibah," kata bapa kepada enam anak itu yang turut
menulis beberapa buku lain.

Antaranya termasuklah Bahagi Biar Adil, Urus Harta Sebelum Mati dan
RM42 Bilion Pusaka Belum Dituntut? dengan pengisian santai serta mudah
difahami.

Apabila membuat wasiat, seseorang itu perlu mendokumentasikan aset
seperti membuat senarai harta, hutang dan sebagainya selain melampirkan
salinan buku bank atau geran yang diperlukan sebagai rujukan kepada
waris.

Anak kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang, Selangor itu menjelaskan,
waris yang tidak tahu menguruskan harta pusaka selepas kematian
kedua-dua ibu bapa antara punca utama mengapa pusaka jadi
bertimbun-timbun sehingga hari ini. Dianggarkan, pusaka yang tidak
dituntut berjumlah RM42 bilion.

Menurut Md. Ghazali yang juga moderator program Dikir Zikir di TV
AlHijrah, penyediaan sesebuah wasiat itu perlu betul, jika tidak ia
boleh dicabar dan tidak boleh dilaksanakan.

Misalnya, sesuatu wasiat itu tidak boleh melarang waris daripada
mengambil harta. Apabila wasiat tidak betul, ia boleh menimbulkan
perselisihan.

Beliau menegaskan, setiap umat Islam wajib memandang serius isu
wasiat. "Wasiat yang tidak ditunaikan boleh memberi kesan kepada si mati
(merana) dan waris pula menanggung dosa," jelasnya sambil memberitahu
kesedaran wasiat dalam kalangan orang Islam sangat rendah berbanding
bukan Islam. Ia berlaku kerana tidak faham dan kurang ilmu.



SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Kursus Intensif Ilmu Faraid anjuran Akademi Al-Ghazali.




Pentingnya dokumen

Md. Ghazali yang banyak membuat lawatan ke Jordan, Syria dan Palestin
mengakui bahawa ramai masyarakat Islam masih kabur lagi tentang wasiat,
hibah dan harta sepencarian.

"Wasiat tidak wajib tetapi kalau kita nak beri lebih kepada isteri,
perlulah buat dokumen atau deklarasi harta sepencarian kerana kita tidak
boleh wasiatkan separuh daripada harta kepada isteri melalui wasiat
kerana ia tidak boleh melebihi satu per tiga.

"Wasiat juga tidak boleh diberikan kepada waris kerana anak-anak ada
bahagian dalam faraid. Ia perlu diberikan kepada orang lain, anak tiri,
anak angkat dan sebagainya," kata graduan yang berkelulusan Ijazah
Syariah dari Universiti Saddam For Islamic Studies, Baghdad, Iraq itu.

Jika seseorang mahu memberikan harta kepada anak-anak, contohnya
rumah, mereka boleh hibahkan harta tersebut dengan membuat dokumen
persetujuan hibah.

Bagi memudahkan orang ramai, Md. Ghazali turut menawarkan
perkhidmatan menyediakan wasiat. Syarikat yang dinamakan Wasiyyah.com
Sdn. Bhd. itu beroperasi di Shah Alam.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menangguhkan isu pembahagian harta pusaka bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari.

"Jika tiada masalah pusaka, buatlah sesuatu untuk waris kita. Rancang
pusaka, buat wasiat atau hibah kerana mungkin esok lusa kita meninggal
dunia," ujarnya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2VIj6JVHp

Hakcipta terpelihara
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum