Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Tidak malu kerana kerja mulia

View previous topic View next topic Go down

Tidak malu kerana kerja mulia

Post by Park Deen on Tue Feb 12, 2013 4:52 am







SELEPAS lebih 15 tahun bergelar
pekerja am Alam Flora, Latiff menyaksikan pelbagai ragam manusia
termasuk membantu menggagalkan satu kes rompakan beberapa tahun lalu.




KETIKA ramai yang sedang nyenyak dan dibuai mimpi namun lain pula
bagi Latiff Jaafar. Lelaki berusia 55 tahun itu bangun dari tidur seawal
pukul 3 pagi untuk bersiap ke tempat kerja.

Dengan menyarungkan baju Alam Flora, seluar slek hitam, memakai topi
dan kasut, dia memulakan perjalanan dari kediamannya di sebuah
pangsapuri di Bangsar, Kuala Lumpur ke tempat kerja dengan menaiki
basikal.

Kayuhan menuju ke Lorong Maarof, Bangsar selama 25 minit sudah biasa buatnya.

Sebaik tiba di pejabat Alam Flora cawangan Bangsar, cerita anak jati
Muar, Johor itu lagi, perkara pertama yang dilakukannya ialah mendaftar
masuk melalui alat perakam waktu sebelum pukul 4.30 pagi.

Dia kemudiannya mengayuh basikal itu semula menuju ke Jalan Telawi
yang hanya mengambil masa lima minit untuk memulakan kerja-kerja
pembersihan.

Sebelum itu, dia mengambil peralatan pembersihan seperti penyapu dan
penyodok yang disimpan di sebuah kedai makan lalu menuju sekitar kawasan
premis hiburan malam kerana pada kebiasaannya, kawasan parkir di situ
dipenuhi sampah.

Seterusnya, Latiff membersihkan pula kawasan di sekitar tapak parkir
di hadapan sebuah pusat gimnasium memandangkan pengunjung pusat itu akan
tiba seawal pukul 7 pagi.

Jika tidak dilakukan segera, ia akan menimbulkan kesukaran untuk membersihkan sampah dari bawah kereta.

Tugasnya belum selesai. Latiff lazimnya akan berhenti berehat selama
20 minit sebelum memulakan kerja di zon lain sehingga pukul 11.30 pagi.

Latiff memberitahu, dia bekerja pada setiap hari kecuali mempunyai
kes kecemasan. Begitulah rutin hariannya sejak 15 tahun yang lalu.

Bagi pekerja am Alam Flora itu, dia memahami bahawa tugasnya bukan
untuk masuk ke pejabat berhawa dingin atau berpakaian kemeja dengan imej
korporat.

'Pejabatnya' ialah di jalanan dan tempat awam. Begitupun, dia tidak
pernah merungut dengan jadual kerjanya kerana menyedari menguruskan soal
kebersihan itu sebagai tuntutan fardu kifayah.



WALAUPUN bergelumang dengan sampah
serta kekotoran, tetapi wajah-wajah inilah yang sentiasa memastikan ibu
kota sentiasa bersih dan cantik.




Pengalaman kerja

Berbicara lanjut mengenai kerjaya yang diceburinya sejak berusia 24
tahun itu, Latiff memberitahu bahawa dia pernah berkhidmat dengan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama 15 tahun sebelum berpindah tugas ke
Alam Flora pada tahun 1999.

Sebelum itu, Latiff pernah melakukan pelbagai kerja termasuk di kilang, berniaga dan pembantu kedai.

"Ketika memulakan tugas di DBKL dulu, saudara saya memberitahu jika
saya tidak malu bekerja sebagai penyapu sampah, saya boleh mendapat
pekerjaan itu dengan segera," ujarnya.

Mengimbas kembali pengalaman itu, bapa kepada tiga orang anak itu
memberitahu, dia sekali lagi diduga sewaktu sesi temu duga sama ada dia
benar-benar bersedia untuk berkecimpung dalam bidang kerja yang tidak
diminati ramai itu.

Penemuduga turut mempersoalkan sama ada dia sanggup menyahut cabaran
jika ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai untuk melakukan
kerja-kerja pembersihan.

"Jawapan saya ketika itu, saya tidak kisah dan sanggup bekerja di
mana-mana sahaja. Lagipun, saya sedar kerana tidak mempunyai kemahiran
lain dan tidak berpelajaran tinggi," ungkapnya yang menamatkan
pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja.

Justeru, anak kedua daripada enam adik-beradik itu hanya mampu
menguatkan semangat dan mengikis perasaan malu yang ada dalam diri
semata-mata mahu mencari rezeki halal.

Walaupun bagi sesetengah pihak, kerja itu dilihat kotor tetapi Latiff
tidak pernah mempedulikannya asalkan tidak menyusahkan orang lain.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mampu menggunakan tulang empat
keratnya untuk meraih pendapatan tanpa menyalahi undang-undang.

Walau bagaimanapun, dia mengakui, sewaktu kali pertama kali menyapu
sampah sememangnya timbul perasaan malu kerana orang yang lalu-lalang
melihatnya.

"Ketika itu, saya muda. Jadi memang berasa segan sedikit. Namun,
mujur saya seorang yang sabar, tabah dan tidak mengambil peduli dengan
tanggapan orang ramai. Saya kini masih berkhidmat pada usia separuh
abad.

"Biarpun segelintir orang memandang rendah pekerjaan ini, saya tidak
peduli asalkan pendapatan yang diperoleh mampu menyara keluarga dan
membesar serta menyekolahkan anak-anak," ungkapnya.

Enggan bekerjasama

Dalam pada itu, sepanjang sesi temu bual diadakan bersama Latiff,
warga emas itu kelihatan tegas dan tidak putus-putus memberi nasihat
kepada pemilik dan penyewa bangunan rumah kedai serta pekerja restoran
agar tidak melonggok sampah di merata-rata tempat.

Selama tiga jam bersama Latiff, tinjauan mendapati segelintir pihak sesuka hati melonggok sampah di pangkal pokok dan kaki lima.

Ketika ditanya kepada Latiff, dia memberitahu itulah sikap kebanyakan
individu yang bergantung kepada pekerja Alam Flora untuk mengutip
longgokan sampah.

"Mereka tidak menggunakan penyodok sampah sebaliknya melonggok sampah dan menunggu kami membersihkan longgokan itu.

"Apa salahnya mereka kaut semua sampah itu dan masukkan ke dalam tong
sampah? Memanglah tidak salah tetapi mereka melepaskan semua
tanggungjawab pembersihan kepada kami," keluhnya sambil menyifatkan hal
itu sepatutnya tanggungjawab bersama.

Warga emas yang pernah memenangi anugerah perkhidmatan sebanyak lima
kali itu memberitahu, sikap masyarakat dahulu lebih baik berbanding
sekarang.

Menurutnya, hari ini dia memerhatikan ramai orang yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat.

Jika dahulu, dia jarang melihat longkang yang tersumbat dengan minyak
pejal atau lemak, sebaliknya hanya terdapat plastik atau sisa makanan.
Keadaan hari ini berbeza hinggakan pekerja pembersih terpaksa
menggunakan water jet untuk memecahkan sisa makanan yang telah menjadi
beku.

Jika hal tersebut tidak segera diatasi, ia boleh mengakibatkan sistem perparitan dan pembetungan tersumbat.

Namun, kesemua sampah sarap itu dibersihkan dengan sabar oleh kumpulan petugas Alam Flora kerana itulah tuntutan tugas mereka.

Jenayah pagi

Menyentuh mengenai cabaran dalam bidang itu, Latiff mengakui tiada
sebarang masalah cuma berhadapan dengan risiko bahaya ketika menjalankan
tugas pada awal pagi.

Sepanjang tempoh bekerja terutama pada awal pagi, dia telah
menyaksikan pelbagai kejadian yang membabitkan kes kebakaran, ugut dan
rompakan.

Menurutnya, dia pernah melihat sekumpulan lelaki yang bergaduh kerana seorang lelaki yang mabuk membuang air di kaki lima.

Berikutan itu, lelaki mabuk berkenaan dipukul sampai mati namun dia
tidak berani meleraikan pergaduhan tersebut kerana khuatir menjadi
mangsa. Dia sebaliknya hanya mendapatkan bantuan pihak polis.



ANANDAN menguruskan peralatan water jet untuk menyedut sampah dan lemak beku yang terkumpul dalam longkang.




Selain kejadian itu, dia juga pernah menyelamatkan seorang wanita yang diugut dan dirompak.

"Seingat saya, kejadian ini berlaku beberapa tahun yang lalu yang membabitkan seorang wanita yang diugut sekumpulan samseng.

"Ketika itu, saya memberanikan diri untuk menyelamatkan wanita
tersebut dengan menggunakan penyodok dan penyapu," katanya sambil
menyifatkan banyak kejadian yang berlaku pada awal pagi lantas
membuatkan dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain Latiff, S. Anandan, 50, yang telah berkecimpung dalam bidang itu juga menyuarakan perkara yang sama.

Dia yang mempunyai empat orang anak mengakui, walaupun terpaksa
bergelumang dengan sampah sarap dan bau busuk, ia tidak menjadi masalah
untuknya asalkan dapat mencari rezeki yang baik.

Anandan yang bertugas dalam menguruskan kelengkapan water jet mengakui ia bukan satu tugas yang mudah.

Cerita anak jati Kuala Lumpur itu, kerja-kerja tersebut menuntut kesabaran, ketelitian dan komitmen yang tinggi.

Biarpun peralatan tersebut satu teknologi terkini yang mampu
membersihkan longkang yang tertutup dengan berkesan namun terdapat
risiko bahaya.

"Bayangkan, kumpulan lemak yang beku dalam longkang boleh dipecahkan
dengan mudah, namun pengendalian jetter perlu dilakukan dengan
berjaga-jaga kerana pancutan air tersebut yang kuat boleh menyebabkan
maut jika terkena manusia," katanya sambil memberitahu telah menjalani
kursus khas untuk mempelajari cara-cara mengawal peralatan tersebut
selama tiga bulan.

Tambah Anandan, dalam menjalani tugasnya itu, dia juga berhadapan
dengan risiko sakit belakang kerana sering mengangkat penutup longkang
yang berat.

Sebelum kerja-kerja pembersihan dalam longkang tersumbat yang teruk
dilakukan, kami terpaksa mengangkat kesemua penutup longkang untuk
memudahkan kerja-kerja pecahan minyak yang beku.

"Ia sangat berat sehingga membuatkan rasa sakit di bahagian belakang
terutamanya pinggang. Saya juga bukannya muda lagi," katanya berseloroh.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2Ke5YPQ7P


Hakcipta terpelihara
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum