Komuniti Kaki Bola
SELAMAT DATANG KE FORUM KOMUNITI KAKI BOLA.

SILA DAFTAR SEBAGAI PENGGUNA UNTUK MENGGUNAKAN FORUM INI.

ANDA DIALU-ALUKAN UNTUK BERFORUM DAN BERKONGSI MAKLUMAT DI MANA² RUANGAN YANG SESUAI DI FORUM INI.

PENYERTAAN ANDA AMAT DIHARGAI.

SEMOGA ANDA BERPUAS HATI MELAYARI LAMAN INI.

TERIMA KASIH

Pengurusan FAM masih di takuk lama?

View previous topic View next topic Go down

Pengurusan FAM masih di takuk lama?

Post by Park Deen on Sun Jan 27, 2013 2:39 am





Oleh KHAIRI MOHAMAD


BANYAK keputusan dikatakan dibuat secara ad-hoc dalam setiap mesyuarat majlis exco FAM.-Gambar hiasan




BOLA sepak negara sejak kebelakangan ini sering diselubungi kontroversi melibatkan banyak perkara.

Jika dilihat pada sudut yang positif, kekalutan yang melanda memberi
sedikit ruang publisiti untuk menarik semula perhatian peminat bola
sepak bagi mengembalikan zaman kegemilangannya.

Namun, dalam dunia global yang semakin berubah, bola sepak juga
memerlukan satu transformasi yang bukan sekadar dihebohkan dalam akhbar
mahupun televisyen tetapi ia menuntut kesediaan dan komitmen serta jiwa
besar agensi, badan atau individu yang terlibat dalam pembangunan bola
sepak negara.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kehebatan Liga Malaysia
kembali menjadi tumpuan peminat terutama melibatkan pasukan kerdil yang
kini menjadi gergasi baharu, pasukan yang dulunya begitu gah mengungguli
saingan, kini sudah kehilangan taring, episod gantung menggantung,
‘curi’ pemain, keganasan penonton dan banyak lagi terus mewarnai dunia
bola sepak tempatan yang semakin diminati untuk ditelusuri
perkembangannya.

Apabila membicarakan mengenai bola sepak tempatan, nama Tan Sri
Annuar Musa sudah tentu tidak boleh dihanyutkan begitu sahaja dalam
lipatan sejarah bola sepak Malaysia, terutama apabila beliau sering
dikaitkan sebagai individu yang sering mencetuskan kontroversi.

Sehinggakan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) yang dimenangi hanya sempat dirasai selama setahun lapan bulan
sahaja sebelum digantung selama dua tahun setengah kononnya kerana
mengkritik prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

Beliau merupakan Timbalan Presiden FAM yang pertama digantung kerana
kelantangannya mengkritik yang pada hemat sesetengah pihak tertentu
sebagai tidak beretika dan beliau tidak berhak walaupun beliau mendakwa
teguran tersebut adalah untuk kebaikan.

Pelbagai kontroversi diharungi beliau penuh dengan ketenangan
sehingga berjaya membawa Kelantan merangkul gelaran trebel musim lalu
sebelum episod kontroversi baharu muncul apabila beberapa pemain The Red
Warriors didakwa 'dicuri' oleh pasukan lain.

Seperti biasa, Annuar keluar dengan pelbagai kenyataan yang mendakwa
pemainnya dibawa keluar menggunakan 'pintu belakang' sehingga
menimbulkan polemik baharu dalam dunia bola sepak tempatan sehingga
menyebabkan FAM terheret sama dalam isu berkenaan.

Menurut Annuar, segala isu yang timbul ekoran daripada masalah
pentafsiran undang-undang bola sepak yang digariskan oleh Persekutuan
Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang gagal ditafsirkan dengan baik oleh
FAM sebagai badan induk bola sepak di negara ini.

“FAM sendiri tidak ada jabatan undang-undang, FAM sangat bergantung
sepenuhnya kepada individu-individu tertentu sedangkan peraturan dan
undang-undang sukan adalah subjek yang khusus, mesti diuruskan oleh
seorang yang profesional, bukan berstatus profesional biasa tetapi
profesional yang mempunyai pengalaman, dan kebetulan dalam negara kita
juga, aspek undang-undang sukan ini tidak banyak pihak yang
mendalaminya.



ANNUAR




“Sedangkan sukan itu sendiri ada undang-undang, ada mahkamah sendiri,
tribunal sendiri, ada jawatankuasa rayuan dan implikasi, kerana ia
merupakan industri yang bernilai berbilion ringgit, satu benda yang
besar. Jadi, dalam badan induk negara (FAM), bila tidak ada satu jabatan
menyelaraskan, maka kita dapati banyak berlaku kepincangan daripada
segi pentafsiran, aplikasi, kepincangan macam mana nak selesaikan satu
pertikaian sehingga menimbulkan banyak ketidakpuasan hati,” katanya.

Katanya, apa yang menjadikan masalah tersebut bertambah rumit apabila
persatuan bola sepak negeri juga tidak mendalami peraturan yang ada
kerana ada di antara mereka yang menguruskan sesebuah pasukan datang
daripada latar belakang yang tidak berkaitan dengan sukan berkenaan
seperti guru dan sebagainya yang secara tiba-tiba atau kebetulan menjadi
presiden persatuan ataupun pengurus pasukan.

“Ahli sukan juga sama, mereka tidak memahami peraturan. Apabila dia
sudah melanggar peraturan dan sebagainya, tiada siapa peduli atau
keadaan itu tidak mendidik dia untuk mengikuti peraturan dan sebab itu
bila kita kata profesionalisme dalam semua peringkat, pengurusan kena
faham peraturan, pemain kena faham peraturan jadi sekurang-kurangnya
bila semua orang faham peraturan maka, lebih sedikit pertikaian yang
timbul, kuranglah perlanggaran.

“Sudahlah kita tidak ada rangka kerja mentadbir undang-undang secara
sistematik, kemudian orang yang terlibat mentadbir tidak ada
pengetahuan. Maka, kesemua perkara berkaitan peraturan dan undang-undang
menjadi satu perkara yang paling tidak diberi keutamaan, ia cuma
berjalan,” ujarnya.

Mengulas mengenai Artikel 88 yang menyebabkan beliau digantung,
Annuar berpendapat bahawa ia adalah suatu yang tidak relevan malah,
pentafsirannya berbeza dengan 'roh' dan tujuan artikel tersebut dibuat
apabila ia hanya memperuntukkan hanya dua individu, Presiden FAM dan
Setiausaha Agung FAM sahaja yang boleh bersuara.

“Tidak munasabah dan saya tengok undang-undang itu pun tidak
diaplikasikan seperti itu. Ada masa bercakap, tiada tindakan, ada masa
kena tindakan maka saya cuba mahu faham apakah semangat di sebalik
Artikel 88.

“Jadi, tidak kiralah bila jatuh sesuatu hukuman yang kebetulan kena
pada saya sendiri, saya mahu tahu lebih lanjut sebab itu saya lawan.
Selepas itu terus tidak boleh merayu, kena sekat, jadi nak pergi ke
peringkat seterusnya tidak boleh. Sepatutnya proses dalam menentukan
keadilan sebelum mahu menghukum mesti ada siasatan, mesti ikut prosedur,
tidak boleh terburu-buru mahu menghukum.

“Harus ada penjelasan kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil,
jadi orang berkenaan mesti jelaskan. Kemudian, jika jawapan tidak
memuaskan hati, terus buat dakwaan secara rasmi. Dakwaan itu pula perlu
cukup tempoh masa, kena ada peluang untuk bela diri dan bila jatuh
hukuman mesti ada ruang untuk merayu,” jelasnya.

Katanya, walaupun Artikel 88 hanya tertakluk untuk bola sepak namun,
ia perlu diaplikasikan berdasarkan undang-undang negara, dan jika ia
bercanggah sepatutnya undang-undang negara diguna pakai.

“Adakah Artikel 88 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara dalam
konteks kebebasan bersuara? Menyekat secara keseluruhan sehingga
keseluruhan komuniti bola sepak hilang kebebasan bersuara untuk
memberikan komen yang adil dan berasas.

“Sebab itu saya ambil pendekatan lain sedikit sebab undang-undang itu
perlu diuji soal interpretasinya, bukan sebab kita nak lawan tapi saya
memikirkan jangka panjang. Kalau satu-satu pertikaian itu kita tidak
ikut prosesnya, kita tidak akan dapat penjelasannya,” katanya.



ISU perpindahan Norshahrul dikatakan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.




Pengurusan yang ketinggalan zaman

Mengulas mengenai senario bola sepak di Malaysia, Annuar percaya
bahawa sistem pengurusan bola sepak di negara ini masih berada ditakuk
lama dengan sistemnya sama seperti 10 atau 20 tahun kebelakang dan masih
menggunakan amalan biasa walaupun bola sepak itu sendiri kini menjadi
salah satu industri yang terkedepan.

“Pengurusan liga masih merupakan amalan biasa, anda uruskan satu
pasukan 25 pemain ada jurulatih turun latihan di padang kemudian
mengambil bahagian dalam pertandingan dan biasanya kos dan pembiayaan
datang daripada sumber tertentu yang lazimnya kerajaan atau satu
entiti,” katanya.

Menurutnya, keadaan tersebut tidak menggambarkan bola sepak di negara
ini diuruskan dalam situasi profesional kerana terlalu banyak kelemahan
yang ada pada amalan sistem yang diterapkan berbanding kaedah yang
digunakan oleh kebanyakkan liga di Eropah malah beberapa liga di Asia
seperti A-League di Australia, J-League di Jepun dan K-League di Korea
Selatan termasuk transformasi yang kian berkembang bagi beberapa liga di
Asia Barat.

“Keadaan sekarang ini sedikit sebanyak menuntut perubahan misalnya
pemain-pemain mula bercakap tentang nilai gaji yang lebih tinggi dan itu
memerlukan kapasiti kelab pula untuk sanggup mengadakan dana dan
menguruskan dana yang lebih besar.

“Kalau dulu barangkali RM500,000 atau RM1 juta cukup untuk uruskan
satu pasukan tapi sekarang sampai RM10 juta misalnya, sudah tentu
pengurusan dana yang sebesar itu dari segi perbelanjaan dan hasil sudah
tidak lagi sesuai dengan cara-cara yang lama atau keupayaan yang lama.

“Jadi, kalau tanya saya pada keseluruhannya pengurusan bola sepak
dari atas sampai bawah berbanding dengan norma yang dipakai di negara
yang maju bola sepaknya, kita sangat jauh berbeza,” ujarnya.

Annuar tanpa berselindung menggesa FAM sebagai badan induk dan
tunggal bola sepak negara supaya berubah dan melakukan perubahan dalam
usaha untuk mengangkat tahap profesionalisme di peringkat akar umbi.

Jelasnya, FAM adalah satu-satunya badan yang diamanahkan oleh FIFA
dan bertanggungjawab mencorakkan bagaimana bola sepak di negara ini
dikembangkan dan sudah tentu tugas tersebut cukup mencabar dan
memerlukan pemantauan yang berterusan bagi menentukan hala tujunya.

Bagaimanapun, melihat kepada apa yang berlaku di negara ini, beliau
nyata kesal apabila bola sepak di negara ini diuruskan tanpa sebarang
perancangan dan ia hanya berjalan mengikut keadaan tanpa satu pengurusan
yang sempurna untuk memacu transformasi dalam sukan berkenaan.

“Pengalaman saya sekejap secara aktif dalam FAM, saya dapati kita
pergi mesyuarat dan berbincang tanpa ada apa-apa rujukan. Tidak ada
rujukan dan rangka kerja, jadi, macam mana kita mahu menilai tahap-tahap
tertentu sama ada kita di landasan yang betul atau tidak.

“Semua keputusan kita dibuat secara ad-hoc, sekali berlaku satu
peristiwa, sekali kita perkenalkan satu program. Program itu pula
ad-hoc, jadi, akhirnya perkembangan bola sepak itu tidak berlaku secara
terancang. Saya selalu kata dalam dunia sekarang ini, champion must be
created, no longer born (seorang juara itu mesti dibentuk bukan lagi
lahir semulajadi),” jelasnya.



PRESTASI skuad kebangssan di persada antarabangsa menggambarkan betapa lemahnya bola sepak negara di peringkat akar umbi.




Kontroversi Mat Yo

Selepas lima tahun mengambil alih KAFA dan melakukan proses
transformasi yang bukan kecil, beliau melihat kontroversi mengenai isu
perpindahan Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) berlaku sekali lagi kerana
keliru dalam mentafsirkan kontrak dan undang-undang dengan jelas.

FAM, katanya adalah badan yang melakukan penafsiran tersebut dan
bukan sahaja percanggahannya berlaku kerana pentafsiran, tetapi
undang-undang yang digubal oleh badan tersebut juga mempunyai konflik.

“Bagi FIFA, seseorang pemain yang ada kontrak dengan mana-mana kelab,
dalam tempoh kontrak itu masih berjalan maka dia mesti ada tuan punya
secara asasnya. Dalam tempoh itu, tidak ada kelab boleh menghubungi
secara langsung pemain berkenaan, telefon pun tidak boleh. Mahu panggil,
jumpa, makan, runding semua tidak boleh, dalam FIFA itu sangat jelas.

“Kedua, kalau mana-mana kelab mahu mengambil pemain ini, wajib minta
kebenaran daripada kelab asal, tidak boleh ada hubungan langsung kecuali
hantar permintaan pada kelab dan kalau kelab kata tidak setuju
berunding, maka tiada apa-apa urusan berlaku sehingga kontrak pemain
terbabit tamat.

“Ini kunci yang diwujudkan untuk menjaga industri sebab kalau tidak
dijaga, maka tidak timbul dalam industri ini sistem perpindahan pemain.
Bila pemain boleh ‘dicuri daripada belakang’, tidak payahlah bayar yuran
perpindahan dan pemain pula boleh keluar sebegitu mudah. Dalam FIFA,
kalau kita ambil di luar peraturan, pemain dan kelab akan digantung
selama empat bulan,” ujarnya.

Proses perpindahan Mat Yo yang kini menyertai Johor Darul Takzim
(Johor DT) jelasnya, merupakan satu percanggahan dan melanggar
undang-undang malah, lebih mengejutkan, beliau mendedahkan bahawa
terdapat tangan-tangan halus di dalam FAM yang memainkan peranan membawa
keluar Mat Yo dari Kelantan.

“Bila pemain ada masalah dengan kelab, orang lain jangan campur
tangan. FAM tidak boleh campur sebab dia mahkamah, tetapi dalam kes Mat
Yo saya tahu pegawai FAM terlibat supaya Mat Yo boleh pindah, benda itu
sangat salah. Saya tahu ada orang terlibat secara langsung memberi jalan
kepada Mat Yo untuk keluar.

“Dalam undang-undang, FAM adalah seperti hakim dan hakim tidak boleh
beri nasihat terlebih dahulu kepada orang yang dia akan hukum.

“Sebab itu dalam kes ini, saya merasa sangat kecewa cara pengurusan
tunggang-langgang, saya tahu dia dibayar, diberi duit poket terlebih
dulu, ditawarkan gaji lebih awal. Selepas itu barulah dia 'gila-gila'
mahu keluar, sebelum itu dia tidak mahu meninggalkan Kelantan.

“Kalau dia mahu keluar, tiga bulan sebelum, dia kenalah beritahu,
jadi saya ada masa nak cari pemain lain, ini tidak, dia hantar surat 30
Oktober 2012 tapi mahu tamat kontrak 1 November 2012, tidak sampai 48
jam. Macam mana saya nak cari pemain lain.

“Kami kehilangan empat pemain, S. Chanturu, Nurul Azwan Roya, Mohamad
Ghaddar dan Mat Yo. Empat pemain ini, kesemuanya ada kes berbeza yang
berkaitan dengan undang-undang yang dalam perancangan kita, mereka tidak
sepatutnya pergi pada tahun ini, mereka lari di luar perancangan kita,”
jelasnya dengan nada yang kesal.

Berdasarkan pengalaman kes melibatkan penyerang kebangsaan itu,
Annuar memberitahu, seseorang pemain boleh menamatkan kontrak, tetapi
perlu memberikan tempoh yang cukup, begitu juga kelab atau pasukan
kerana ia melibatkan masa depan kedua-dua pihak kerana melibatkan
beberapa perkara seperti duit, penajaan dan keupayaan pasukan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2J7zYLaUm

Hakcipta terpelihara
avatar
Park Deen
Admin
Admin

Negeri :
Posts : 2214
Points : 5646
Reputation : 0
Join date : 18/09/2011

View user profile http://kakibola.forumado.net

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum